Rekreasi Dan Pelancongan
Hutan Bandar Putra, Kulai adalah merupakan salah satu pusat taman rekreasi yang berada di Kulai, Johor. Pusat rekreasi ini mempunyai keluasan yang besar dan dibina khas untuk kegunaan orang awam. Taman rekreasi ini juga terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di mana mempunyai keunikan tersendiri menjadikannya lokasi yang menarik untuk dikunjungi seisi keluarga. Taman ini sesuai untuk orang awam yang meminati aktiviti santai seperti joging, berbasikal, bersenam dan memberi makanan kepada ikan di kolam. Oleh itu, pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan bersama-sama bagi memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda.
Johor Premium Outlets (JPO) merupakan pusat pelancongan atau pusat beli-belah yang terletak di daerah Kulai. Pusat beli-belah ini menjadi tarikan kepada penduduk khususnya penduduk di kawasan daerah Kulai, Johor Bahru dan negara berjiranan iaitu Singapura. Ia menempatkan barangan yang berjenama dan bertaraf antarabangsa seperti Coach, Adidas, Nike, Armani, Salvator dan sebagainya dan boleh mendapat potongan harga sebanyak 25% hingga 70%. Pusat beli-belah ini juga dapat dilihat melalui Lebuhraya Utara-Selatan selepas Persimpangan Senai Utara.
Hutan Lipur Gunung Pulai merupakan pusat pelancongan dan rekreasi yang terdapat di Kulai, Johor. Tarikan hutan lipur ini sesuai untuk aktiviti ‘’jungle-trekking’’ atau mendaki. Selain itu, Hutan Lipur Gunung Pulai ini juga mempunyai sebuah air terjun yang cantik dan pengunjung boleh melalui laluan jalan kaki yang tersedia. Kawasan ini menjadi tarikan orang ramai terutama keluarga yang inginkan suasana beriadah dan mandi air terjun di bahagian kaki bukit.
Di dalam Felda Taib Andak terdapat juga kawasan pelancongan dan rekreasi iaitu Kolam Mancing Felda Taib Andak. Kolam mancing ini terkenal dalam kalangan penduduk kampung Felda Taib Andak dan penduduk luar sekitar Kulai. Kolam mancing ini kebiasaannya digunakan apabila pertandingan memancing diadakan.